Sejarah Penubuhan MRSM Tun Mustapha, Tawau

Projek pembinaan MRSM Tun Mustapha, Tawau diluluskan pembinaannya dalam Rancangan Malaysia ke-9. Pembinaan projek ini telah dimulakan pada awal tahun 2007 di atas tapak iaitu kira-kira 67 ekar. Terletak pada kedudukan yang strategik iaitu kira-kira 20 minit daripada Lapangan Terbang Tawau dan 10 minit daripada Bandar Tawau. Kerja-kerja pembinaan telah berjaya diselesaikan oleh pemaju pada akhir tahun 2007. Ini mendorong pihak MARA mengambil inisiatif untuk menghantar seramai 17 kakitangan sebagai perintis pembukaan pada 4 Februari 2008.

Walaupun bangunannya sudah siap dibina, namun penghantaran kelengkapan pejabat tidak dapat dibuat dengan segera dan ini menyebabkan warga MRSM pada masa itu terpaksa "berkampung" di Pejabat MARA Daerah Tawau untuk urusan-urusan pentadbiran. Setelah seminggu melaksanakan kerja-kerja di PMD Tawau. Akhirnya pihak pengurusan yang diketuai oleh pengetua yang pertama iaitu En. Wan Abd. Ghani Bin Wan Abdullah, mengambil keputusan melaksanakan segala urusan pentadbiran di MRSM sendiri. Biarpun tanpa kemudahan yang mencukupi, warga MRSM tetap bersemangat melaksanakan tugas-tugas harian terutama untuk menyambut kehadiran pelajar-pelajar baru.

Maka pada 24 Mac 2008, secara rasminya MRSM Tun Mustapha, Tawau menerima kehadiran seramai 84 orang pelajar tingkatan 1 dan 4 dalam satu majlis yang penuh bermakna bagi seluruh warga maktab, pelajar dan keluarga mereka.